Musibah seringkali ditakrifkan sebagai ujian, bencana, atau balasan daripada Allah SWT. Pelbagai bentuk musibah berlaku seperti kehilangan orang yang disayangi, kemusnahan harta benda, keruntuhan rumahtangga, kegagalan dalam perencanaan atau sebagainya. Impak daripada musibah ini boleh merubah situasi seseorang bergantung kepada tahap penerimaan mereka.
Sekiranya diterima secara positif, maka musibah dapat memberi kesan yang baik. Akan tetapi sekiranya individu yang ditimpa musibah mengambil peristiwa itu secara negatif maka ia boleh jadi membawa kehancuran yang merugikan. Oleh itu, kita seharusnya mendalami situasi musibah itu supaya ia dapat membawa kesejahteraan.
Apakah yang harus kita lakukan apabila ditimpa masalah atau musibah ? Apakah dengan merasa sedih, keluh kesah dan membinasakan diri sendiri dapat menyelesaikan sesuatu perkara. Jawapannya adalah dengan kembali kepada Allah.Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.Firman Allah SWT :
"Tiada sesuatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izinNya.. Dan barangsiapa yg beriman kepada Allah nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya..."( At-Taghabun:11).
Kita seharusnya redha dengan apa yang berlaku kerana ia merupakan qada dan qadar daripada Allah. Seharusnya seseorang yang beriman tidak boleh mengatakan Allah itu tidak adil semata-mata kerana musibah yang menimpa dirinya begitu pedih untuk ditanggung. Kita tidak berhak untuk memilih dugaan atau musibah itu sesuai dengan kehendak kita.
Ini kerana Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yg bermaksud:.
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.".
Apabila Allah menimpakan musibah kepada kita, itu sebenarnya tanda Allah kasih kepada kita. Ia juga merupakan suatu ujian penilaian keimanan diri, sejauh mana kita benar-benar beriman atau keimanan kita begitu nipis sehingga hanya dengan sedikit dugaan, hati kita berubah.Cuba renungkan firman Allah ini:
"Dan, sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah:155).
Setiap manusia mempunyai titik tolak dalam kehidupannya. Maka apabila ditimpa musibah eloklah kita iktikadkan dalam hati, bahawa inilah titik permulaan dalam hidup kita. Barangkali musibah yang melanda merupakan suatu isyarat daripada Allah untuk kita bermuhasabah diri bagi membuat perubahan. Ringkasnya apa yang telah berlaku itu mempunyai hikmah yang harus di nilai. Kita harus memperbanyakkan beristighfar, membaca selalu innalillahhiwainnailaihirajiuun dan sebagainya.
Disamping itu, jadikan Alquran, sebagai teman. Berdoalah kepada Allah untuk memohon bantuan, dan diberikan keringanan dalam urusan. Firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60 yg bermaksud:
"Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu".
Bagi mengelakkan kita dari terus mengingati situasi sedih yang dihadapi maka kita hendaklah melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat, menghadiri ceramah, mengunjungi saudara mara dan sebagainya. Seterusnya kita hendaklahbertawakkal kepada Allah setiap masa dalam apa jua keadaan.Firman Allah dlm surah Al-Maidah ayat 23:
"...dan hanya kepada Allah lah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman".
Jangan lupa mengadu kepada Allah sekiranya hidup seringkali ditimpa kegelisahan dan kesempitan. Maka ucaplah Hasbunallah Wanikmal Wakil yang bermaksud :, Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.".(Az-Zumar:10).
Sebagai kesimpulannya, tiada masalah tanpa penyelesaiannya. Kita harus mengkaji dan meneliti, sebagaimana setiap penyakit mempunyai penawarnya. Anggaplah musibah itu sebagai tiket untuk mendekati Allah dan sebagai jalan menuju bahagia. Ingatlah janji Allah di dalam surah Al-Insyirah bahawa sesudah kesulitan ada kemudahan.
No comments:
Post a Comment