Rejab dan Syaaban merupakan antara bulan yang cukup istimewa dalam takwim Hijrah. Ketika ini ramai yang berpusu-pusu mengerjakan ibadah malam. Antara tujuannya adalah untuk meraih keredaan dan rahmat dari Allah SWT.
Namun sayangnya, ada antara segelintir umat Islam yang kurang arif tentang apa sebenarnya yang membuatkan bulan ketujuh dan kelapan dalam kelendar Islam ini amat istimewa. Menurut Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad, keunikanRejab terletak pada kejadian Isra' Mikraj yang berlaku pada bulan tersebut. Sementara Syaaban pula sudah tentu padaNisfu Syaabannya.
"Isra' Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Pada bulan tersebut, Rasulullah SAW kehilangan ramai orang tersayang. Ini menyebabkan baginda berdukacita. Jadi bagi menghilangkan kesedihan di hati nabi, Dia menjemputnya datang berjumpa dengan-Nya. Ini membuatkan rasa sedih itu terhenti," terang Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi.
Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Jibril membawa Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudian ke Sidratul Muntaha dengan menunggang Buraq. Hal ini diceritakan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam surah Al Israak ayat 1 yang bermaksud:"Maha Suci (Tuhan) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang amat jauh (Batul-makdis), yang telah kami berkati sekelilingnya, supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami."
Sambung Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi, kejadian Isra' Mikraj tidak boleh dilihat berdasarkan zahir memandangkan rahsianya yang sukar untuk dibongkar. Namun, jika ditinjau dari sudut simbolik, sudah tentu ia memberikan begitu banyak pengetahuan dan pengajaran yang berguna khususnya buat umat Islam. Tegas beliau lanjut, peristiwa tersebut membabitkan dua bentuk perjalanan iaitu dari bumi ke bumi dan bumi ke langit. Isra' adalah merujuk kepada perjalanan pada waktu malam, manakala mikraj berjalan ke atas langit.
No comments:
Post a Comment