Saturday, June 11, 2011

Tiket Ke Syurga


Setiap manusia pasti mengimpikan syurga. Membayangkan diri bertelekan di atas dipan-dipan yang indah atau membayangkan diri berjalan sambil berlagu merdu di taman yang segar penuh keharuman, menebarkan harumnya bunga-bungaan di taman firdausi. Sungguh mengasyikkan. Namun tidak mudah untuk kita memasukinya kerana terdapat pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi.

Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa menjalankan syariat-syariat agama dalam usaha mencari keredhaanNya. Hadiah berupa tiket ke syurga ini adalah hadiah yang paling tinggi nilainya daripada segala kenikmatan di dunia. Oleh kerana manusia tidak akan pasti dapat masuk ke syurga, maka banyak insan yang keraguan,gelisah dan bimbang. Sepanjang zaman manusia selalu berdoa kepada Allah agar ditujukkan jalan yang lurus agar dapat menggapai syurga.

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (Surah Al Fatihah:6)

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus bererti tunjuki kami jalan ke syurga. Inilah idaman setiap insan. Inilah cita-cita setiap manusia yang berakal. Di syurga,Allah swt telah menjanjikan pelbagai kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Laksana taman-taman syurga di mana terdapat dua bentuk taman sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud:

01.Dua taman yang dicipta Allah dari perak dengan segala apa yang ada padanya.

02.Dua taman yang dicipta Allah dari emas dengan segala apa yangada padanya.

Subhanallah!Sahabatku,betapa indahnya kenikmatan syurga Allah ini yang disediakan khusus buat para muslimin dan muslimat.

Syurga itu bertingkat-tingkat,antara tingkat syurga adalah:

  1. Syurga Firdaus
  2. Surga 'Adn
  3. Syurga Na'iim
  4. Syurga Na'wa
  5. Syurga Darussalaam
  6. Daarul Muaqaamah
  7. Al-Muqqamul Amin
  8. Syurga Khuldi

Adapun tingkat syurga paling tinggi darjatnya dinamakan Al-Firdaus. Di atas Al-Firdaus inilah terletak Arsy Rahman (mahligai Tuhan). Subhanallah, syurga ini terletak di bawah Arsy.

Sahabatku, terdapat banyak keistimewaan syurga Al-Firdaus. Antaranya ialah penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Inilah nikmat tertinggi yang boleh kita perolehi. Bukan itu sahaja, di tempat yang penuh dengan kenikmatan ini juga Allah telah menciptakan para bidadari yang menawan,cantik dan sempurna keanggunannya serta mempunyai wajah yang bersinar bagai bulan.

Sekurang-kurangnya, penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari) mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Bagaimana pula dengan makanan penduduk syurga? Penduduk syurga itu akan dihidangkan makanan dan minuman yang lazat dan sangat menyelerakan antaranya buah-buahan yang ranum dan pelbagai lagi hidangan yang tidak terbayang kelazatanya.

Alangkah indahnya jika ditakdirkan kita semua ke syurga.Kerana perkampungan akhirat itu adalah pasti,hendaklah kita bermohon kepada Allah untuk beroleh kenikmatan sebegini.Sebagaimana firman Allah SWT:

Ini adalah kehormatan(bagi mereka),dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar(disediakan)tempat kembali yang baik (iaitu)syurga 'Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka.Di dalamnya mereka bertelekan(di atas dipan-dipan)sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu). (Surah Sad:49)

Semoga kita semua akan ditempatkan di syurga Allah SWT kelak serta sentiasa memperoleh rahmat dan keredhaanNya.

Amin..

Sumber imej : Google Image

-Artikel Iluvislam.com

Sunday, May 1, 2011

Apakah Cinta Itu Sebenarnya Untuk Kita?

Saban hari kita jumpa dengan orang yang berbeza. Berbeza sikap, berbeza perwatakan dan berbeza jantina. Saban hari itulah setiap perasaan yang berbeza wujud menerjah dalam diri. Ada rasa suka, gembira yang teramat, ada rasa benci, kadang-kadang timbul perasaan meluat. Terdapat juga rasa simpati ditaburi sedikit kasihan, dan tidak kurang pula datangnya cinta pandang pertama.

Saat melihat dirinya, hati jadi tenteram, aman dan tenang. Ibarat terbang di awang-awangan. Bagai cerita cinta dalam kisah dongengan. Tetapi, apakah cinta itu sebenarnya untuk kita?

Kisah Cinta Pertama :
Uda dan Dara bercinta berjanji setia sehidup semati. Sampai masa, hanya Allah yang tahu. Cinta di pertengahan. Dara bertemu jodoh dengan insan lain. Sedang Uda berkelana sendirian tanpa arah tujuan.

Kisah Cinta Kedua :
Uda dan Dara bahagia membina mahligai indah atas dasar cinta, kasih dan sayang. Beberapa tahun berlalu, Uda dan Dara mula tidak sependapat dan akhirnya membawa haluan sendiri. Masing-masing bagai orang asing yang datang dari planet lain.

Apakah cinta itu sebenarnya untuk kita?

Cinta yang tiada bermatlamat. Cinta yang tidak pernah ditarbiyah. Cinta yang tidak disulam dengan niat lillahi ta'ala . Tidak.

Cinta itu sebenarnya untuk kita jika Cinta itu ditempatkan dalam tempat yang sememangnya menjadi haknya. Cinta yang ditarbiyah itulah sebenarnya cinta untuk kita. Cinta yang setiap malamnya dihujani dengan air mata. Cinta yang setiap paginya dibasahi dengan embun zikrullah. Cinta yang setiap senjanya didendangkan dengan kalamullah. Dan cinta sebelum malamnya berlabuh dinodai dengan muhasabah keinsafan.

Itulah yang dipanggil sebenar-benar CINTA. CINTA pada Sang Pencipta.

-Artikel Iluvislam.com

Melawan Cabaran Syaitan dan Hawa Nafsu

Dalam buku 'Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini' karangan Abdullah Naseh Ulwan terdapat 5 bab yang bagi saya sangat bagus untuk ditelaah oleh setiap pemuda Islam yang merasakan dirinya lemah dalam menempuh pelbagai cabaran di akhir zaman ini. Bab pertama merupakan 'Cabaran Syaitan dan Hawa Nafsu'. Ini ringkasannya......

Syaitan itu akan sentiasa menjadi musuh manusia:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
(7:14-17)

"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya." (15:39)

Dua dalil di atas menjelaskan kepada kita di mana syaitan akan menjadi seteru yang sentiasa akan berusaha menghasut anak Adam agar membuat maksiat dan dosa lantas melupakan Tuhan yang mengusai hari pembalasan. Oleh itu, wahai para pemuda, kita perlu tahu bagaimana caranya untuk berhadapan dengan cabaran ini. Berikut adalah saranan Abdullah Naseh Ulwan...

Langkah-langkah melawan syaitan:

01.Jadikan syaitan musuh anda

Rujuk ayat Al-Quran (35:6)

02.Istiqamah dengan jalan yang lurus

Rujuk ayat Al-Quran (6:153)

03.Memohon perlindungan kepada Allah

Rujuk ayat Al-Quran (16:98-100)

04.Sentiasa ingat kepada Allah

Rujuk ayat Al-Quran (43:36-37

05.Muraqabah

Rujuk ayat Al-Quran (7:201)

06.Jauhi orang-orang yang alpa

Rujuk ayat Al-Quran (6:68)

Dalam hidup ini, Allah sudah memberi pilihan kepada manusia sama ada mahukan jalan ketakwaan ataupun kekufuran. Oleh itu, terpulang kepada manusia sama ada mahu menjadi orang yang beruntung atau orang yang rugi.

"Kerana keadaan itu tidak mencukupi, (maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)." (76:3)

Bagi orang-orang yang tetap teguh dengan imannya tatkala godaan nafsu datang menduga, maka bergembiralah dengan janji Allah yang tiada keraguan padanya.

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)

Allah juga sudah menyatakan amarannya kepada orang yang menjadikan nafsu sebagai Tuhannya.

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?" (45:23)

Oleh itu wahai para pemuda, janganlah kita mudah menyerah kalah kepada pujukan nafsu. Buktikan kekuatan hatimu, bukan sekadar tenagamu. Buktikan ia kepada Tuhanmu, bukan sekadar kepada manusia. Dan dengan itu kamu akan menjadi pemuda yang hebat di sisi Allah.

Berikut merupakan saranan Abdullah Naseh Ulwan dalam berhadapan dengan pujukan hawa nafsu....

Cara untuk bebas daripada hawa nafsu:

01.Tingkatkan iman

Yakin Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa yg kita lakukan. Ya! mari kita mengamalkan muraqabah.

02.Isi masa dengan perkara berfaedah

Apabila besendirian ataupun berangan-angan kosong, syaitan akan mudah menghasut nafsu.

03.Bersahabat dengan orang-orang yang baik

Sahabat akan mempengaruhi diri seseorang.

- Artikel iLuvislam.com

Saturday, April 2, 2011

Cara-Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Oleh Islam



Super Iman vs. Super Nafsu



Suatu pagi yang hening ketika berkumandangnya azan subuh,

Iman : Bos, bangun ! Dah masuk waktu subuh ni.

Syaitan @ Nafsu : Alah... Baru azan bos. Tidur la lagi.

Iman : Bangun bos ! kalau bangun awal dan siap awal boleh solat jemaah di masjid

Syaitan @ Nafsu : Belum iqomat lagi. Nanti dah qomat baru la bos bangun.

15 minit selepas azan berkumandang...

Iman : Bos, masjid dah qomat tu. Jom bangun, solat di masjid !

Syaitan @ Nafsu : Tak payah la pergi masjid. Solat di rumah pun sah juga bos. Tidur dulu. Waktu subuh panjang lagi ni.

Selepas 59 minit berlalu, dia terjaga dari tidurnya...

Iman : Bos dah lewat ni, jom solat !

Syaitan @ Nafsu : Alang-alang dah lewat, baik bos terus tidur je. Nanti boleh qodho' solat tu.

Boleh dikatakan setiap pagi kita akan melalui situasi seperti di atas. Di mana kita perlu memilih antara memenangkan iman ataupun syaitan dan nafsu kita. Kalau iman yang kita pilih, maka kita akan bangun menunaikan solat subuh dengan segera. Tapi jika syaitan dan nafsu yang menjadi pilihan maka kita akan tangguh dan tangguh menunaikan solat. Lebih malang lagi jika kita terus tidur sehingga habisnya waktu subuh. Banyak lagi situasi yang memerlukan kita membuat pilihan sama ada memenuhi kehendak iman ataupun nafsu dan syaitan. Syaitan akan membutakan mata kita dan menjadikan dosa dan maksiat yang kita lakukan nampak indah. Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 63 yang bermaksud

"Demi Allah, sungguh Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum engkau (Muhammad), tetapi syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan mereka (yang buruk), sehingga dia (syaitan) menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan mendapat azab yang sangat pedih".

Begitulah sahabat-sahabat sekalian, syaitan dan nafsu menggoda kita agar lalai dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Ada saja alasan dan cara yang diberikan kepada kita supaya kita mengikut telunjuk dia. Kreatif dan liciknya makhluk Allah yang bernama syaitan ini dalam menyesatkan anak cucu nabi Adam. Mereka bersungguh-sungguh menggunakan waktu yang diberikan oleh Allah ini untuk mengumpul pengikutnya sebanyak yang boleh untuk bersama-sama mereka di neraka kelak. Firman Allah dalam Surah Fatir ayat 6 yang bermaksud

"Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh. kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggoda manusia. Jika plan atau strategi pertama tidak menjadi maka dia akan ubah kepada plan kedua dan begitulah seterusnya sehingga manusia terkulai dengan pujuk rayu syaitan. Nau'zubillah. Contohnya jika mereka tidak berjaya menghalang manusia dari melakukan ketaatan maka mereka akan menusuk pula jarum riak ke dalam diri manusia agar berbangga dengan amal kebaikan yang dilakukan. Apabila ada sebesar zarah riak yang timbul pada setiap amal yang kita lakukan maka amalan itu akan tertolak. Syaitan memang mahukan kita miskin pahala dan kaya dengan dosa.

Itulah antara kelebihan syaitan, tidak pernah putus asa dan licik serta kreatif dalam menggoda manusia. Kelemahan kita manusia pula ialah sering termakan dengan tipu daya mereka. Manusia yang sering leka dan lalai dari mengingati Allah adalah sasaran yang paling mudah untuk ditumpaskan dan dikalahkan oleh godaan syaitan ini berbanding mereka yang selalu mengingati Allah. Firman Allah dalam surah Al-'Araf ayat 201 yang bermaksud

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)".

Sahabat sekalian, jangan biarkan diri dikuasai nafsu dan syaitan sekiranya tidak mahu dihumban ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia yang derhaka dengan perintah Allah. Jikalau kita mampu untuk menahan azab Allah di akhirat kelak, maka berbuatlah sesuka hati di di dunia ini dan turutilah telunjuk syaitan. Tapi jika kita mahu menikmati keindahan syurga kelak maka berkorbanlah menahan keinginan nafsu dari melakukan perkara yang dimurkai Allah dan berhentilah dari terus menerus mengikut jejak langkah syaitan. Syaitan tidak mampu untuk menolong dirinya sendiri apatah lagi kita diakhirat kelak. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud

"Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. "Sungguh, orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih".

Satu kata-kata hikmah yang berbunyi

"Jika kamu tidak disibukkan dengan kebaikan maka kamu akan disibukkan dengan kebatilan. Kebatilan akan mendekatkan kamu dengan syaitan"

Oleh itu sahabat, jangan biarkan diri lalai dan leka sehingga memudahkan syaitan menggoda kita. Pelajarilah 2 sifat syaitan iaitu tidak mudah putus asa dan kreatif. Jadilah orang yang tidak putus asa dengan rahmat Allah dan orang yang kreatif dalam menolak segala pujuk rayu syaitan laknatullah. Moga kita dijauhkan oleh Allah dengan makhluk yang bernama syaitan ini. Firman Allah dalam surah Al-'Araf ayat 200 yang bermaksud

"Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah (dengan membaca a'uzubillahi minassyaitanirrajim). Sungguh, Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui".

- Artikel iluvislam.com