Saturday, April 2, 2011

Super Iman vs. Super Nafsu



Suatu pagi yang hening ketika berkumandangnya azan subuh,

Iman : Bos, bangun ! Dah masuk waktu subuh ni.

Syaitan @ Nafsu : Alah... Baru azan bos. Tidur la lagi.

Iman : Bangun bos ! kalau bangun awal dan siap awal boleh solat jemaah di masjid

Syaitan @ Nafsu : Belum iqomat lagi. Nanti dah qomat baru la bos bangun.

15 minit selepas azan berkumandang...

Iman : Bos, masjid dah qomat tu. Jom bangun, solat di masjid !

Syaitan @ Nafsu : Tak payah la pergi masjid. Solat di rumah pun sah juga bos. Tidur dulu. Waktu subuh panjang lagi ni.

Selepas 59 minit berlalu, dia terjaga dari tidurnya...

Iman : Bos dah lewat ni, jom solat !

Syaitan @ Nafsu : Alang-alang dah lewat, baik bos terus tidur je. Nanti boleh qodho' solat tu.

Boleh dikatakan setiap pagi kita akan melalui situasi seperti di atas. Di mana kita perlu memilih antara memenangkan iman ataupun syaitan dan nafsu kita. Kalau iman yang kita pilih, maka kita akan bangun menunaikan solat subuh dengan segera. Tapi jika syaitan dan nafsu yang menjadi pilihan maka kita akan tangguh dan tangguh menunaikan solat. Lebih malang lagi jika kita terus tidur sehingga habisnya waktu subuh. Banyak lagi situasi yang memerlukan kita membuat pilihan sama ada memenuhi kehendak iman ataupun nafsu dan syaitan. Syaitan akan membutakan mata kita dan menjadikan dosa dan maksiat yang kita lakukan nampak indah. Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 63 yang bermaksud

"Demi Allah, sungguh Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum engkau (Muhammad), tetapi syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan mereka (yang buruk), sehingga dia (syaitan) menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan mendapat azab yang sangat pedih".

Begitulah sahabat-sahabat sekalian, syaitan dan nafsu menggoda kita agar lalai dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Ada saja alasan dan cara yang diberikan kepada kita supaya kita mengikut telunjuk dia. Kreatif dan liciknya makhluk Allah yang bernama syaitan ini dalam menyesatkan anak cucu nabi Adam. Mereka bersungguh-sungguh menggunakan waktu yang diberikan oleh Allah ini untuk mengumpul pengikutnya sebanyak yang boleh untuk bersama-sama mereka di neraka kelak. Firman Allah dalam Surah Fatir ayat 6 yang bermaksud

"Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh. kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggoda manusia. Jika plan atau strategi pertama tidak menjadi maka dia akan ubah kepada plan kedua dan begitulah seterusnya sehingga manusia terkulai dengan pujuk rayu syaitan. Nau'zubillah. Contohnya jika mereka tidak berjaya menghalang manusia dari melakukan ketaatan maka mereka akan menusuk pula jarum riak ke dalam diri manusia agar berbangga dengan amal kebaikan yang dilakukan. Apabila ada sebesar zarah riak yang timbul pada setiap amal yang kita lakukan maka amalan itu akan tertolak. Syaitan memang mahukan kita miskin pahala dan kaya dengan dosa.

Itulah antara kelebihan syaitan, tidak pernah putus asa dan licik serta kreatif dalam menggoda manusia. Kelemahan kita manusia pula ialah sering termakan dengan tipu daya mereka. Manusia yang sering leka dan lalai dari mengingati Allah adalah sasaran yang paling mudah untuk ditumpaskan dan dikalahkan oleh godaan syaitan ini berbanding mereka yang selalu mengingati Allah. Firman Allah dalam surah Al-'Araf ayat 201 yang bermaksud

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)".

Sahabat sekalian, jangan biarkan diri dikuasai nafsu dan syaitan sekiranya tidak mahu dihumban ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia yang derhaka dengan perintah Allah. Jikalau kita mampu untuk menahan azab Allah di akhirat kelak, maka berbuatlah sesuka hati di di dunia ini dan turutilah telunjuk syaitan. Tapi jika kita mahu menikmati keindahan syurga kelak maka berkorbanlah menahan keinginan nafsu dari melakukan perkara yang dimurkai Allah dan berhentilah dari terus menerus mengikut jejak langkah syaitan. Syaitan tidak mampu untuk menolong dirinya sendiri apatah lagi kita diakhirat kelak. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud

"Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. "Sungguh, orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih".

Satu kata-kata hikmah yang berbunyi

"Jika kamu tidak disibukkan dengan kebaikan maka kamu akan disibukkan dengan kebatilan. Kebatilan akan mendekatkan kamu dengan syaitan"

Oleh itu sahabat, jangan biarkan diri lalai dan leka sehingga memudahkan syaitan menggoda kita. Pelajarilah 2 sifat syaitan iaitu tidak mudah putus asa dan kreatif. Jadilah orang yang tidak putus asa dengan rahmat Allah dan orang yang kreatif dalam menolak segala pujuk rayu syaitan laknatullah. Moga kita dijauhkan oleh Allah dengan makhluk yang bernama syaitan ini. Firman Allah dalam surah Al-'Araf ayat 200 yang bermaksud

"Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah (dengan membaca a'uzubillahi minassyaitanirrajim). Sungguh, Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui".

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment